CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, April 13, 2009

Arghh! STRESS


Saya percaya bahawa setiap orang pasti akan melalui detik-detik yang menyebabkan tekanan fikiran ataupun 'stress'. Dalam sesebuah kehidupan, pasti ada masa-masanya apabila kita rasa tertekan dan buntu dengan keadaan di sekeliling. Contohnya, perihal sekolah kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan ataupun semasa kita patah semangat kerana persaingan yang mantap atau sengit di antara rakan-rakan sekolah. Ini diantara yang mungkin berlaku kerana kita sering membanding-bandingkan diri sendiri dengan orang lain yang lebih pandai dan mahir dari kita. Oleh itu, kita mula rasa takut jika kita tidak dapat berada di tahap yang sama dengan mereka.

Sebaliknya, kita boleh menukar keadaan dengan mencari hobi atau aktiviti yang bukan berdasarkan perstasi atau pencapaian seseorang. Semua orang pasti mempunyai kelebihan masing-masing. Walau bagaimanapun, ia tidak salah untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik dari saingan kita asalkan ia tidak memberi tekanan yang memudaratkan diri. Cara terbaik ialah untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan dan percaya dengan kebolehan kita di tahap yang paling maksimum.

Untuk menghindarkan atau mengatasi tekanan fikiran, kita boleh melakukan cara-cara sedemikian seperti:
- Menghela nafas yang dalam

- Bersukan atau bersenam

- Bayangkan perkara-perkara yang menenangkan

- Membaca buku kegemaran untuk mengalihkan tumpuan

- Mendengar lagu dan menari jika ia dapat hilangkan tekanan

Akhir sekali, kita harus pandai menilaikan keadaan dan menerimanya dengan fikiran yang positif agar ia dapat diatasi dengan sebaik mungkin. :)

Saturday, March 21, 2009

Bengkel Bimbingan Bahasa Melayu

Pada hari cuti bulan ini, pelajar melayu sekolah menengah East Spring dikehendaki untuk menghadiri bengkel bimbingan peperiksaan GCE 'O' di Sekolah Menengah Dunman. Saya adalah diantara pelajar yang hadir. Setibanya di sana, kami disuruh untuk mendaftarkan diri dan memilih bahan-bahan sesi yang ingin disertai. Saya telah memilih sesi untuk bina ayat dan kefahaman. Jika saya diberi peluang sekali lagi, saya ingin menghadiri sesi peribahasa dan karangan. Saya rasa, ada banyak lagi yang patut saya pelajari. Secara keseluruhan, bengkel ini baik untuk dimanfaatkan. Guru-guru dari sekolah-sekolah yang lain juga telah memberi kerjasama yang baik untuk menjayakan bengkel ini. Akan tetapi, saya berpendapat bahawa jangka masa untuk bengkel ini tidak mencukupi. Di sesi-sesi yang saya sertai, guru yang mengajar dan membuat presentasi tidak dapat selesaikan kesemua bahan yang hendak diketengahkan. Namun begitu, ceramah dan pengajaran yang sempat diberi oleh guru-guru cukup berguna.

Contohnya, di sesi bina ayat, saya telah pelajari bahawa kita boleh menggunakan kata fokus dan kata kunci untuk membina ayat yang betul. Saya harus pastikan bahawa ayat saya memberi makna yang jelas, struktur yang betul dan pemahaman makna dalam ayat. Ada juga beberapa perkara yang saya patut elak semasa membina ayat. Misalnya, kita tidak boleh mengubah bentuk kata, elakkan berdialog, elak memberi definasi ayat dan banyak lagi. Cikgu Rohasan telah menunjukkan video yang menarik dan menggelikan hati untuk dijadikan contoh membina ayat. Dari video itu, kami dapat penerangan dan pemahaman yang lebih jelas tentang perkataan dan frasa yang dijadikan contoh. Saya berterima kasih kepada guru kerana memberi kami kesempatan untuk menyertai bengkel seperti ini.

Monday, March 16, 2009

Sungei Road

Sungei Rd ialah pasar lambak tertua yang terdapat Singapura. Ia cukup terkenal dengan orang-orang yang menjual barang-barangan yang telah dipakai tetapi, masih berguna dan boleh digunakan. Terdapat bemacam-macam barangan atau khazanah yang bole dijumpai di sana. Selalunya ia adalah barangan yang lama. Harganya tidaklah begitu mahal kerana kebanyakannya terpakai. Taktik tawar menawar bole digunakan semasa membeli. Penjual di sana sering disifatkan sebagai selamba kerana tidak mempraktikkan layanan yang ada seperti di pusat membeli-belah. Pasar lambak ini dibuka setiap hari dan masa yang paling sesuai untuk pergi ialah pada petang hujung minggu.

Pada zaman dahulu, Sungei Rd cukup dikenali sebagai 'Thieves' Market' iaitu tempat menjual barang yang dicuri. Ada pepatah yang mengatakan, "jika barang anda dicuri, pergi saja ke Sungei Rd dan belinya semula." Walau bagaimanapun, zaman sekarang pihak berkuasa telah campur tangan dan mendesak agar penjual mengisytiharkan bahawa barangan yang dijual bukan yang dicuri.


1st: Nyonya tu malu nk bergambar pula.
2nd: Sekumpulan burger yang telah melarikan diri dari Macdonald. HAHA!

1st: Macam-macam ada.
2nd: Suasana di Sungei Road.

1st: Ish. Zaman bila punya kasut roda tu?
2nd: Aha.. Sungei Road.

Tuesday, February 24, 2009

Remaja zaman sekarang..

Baru-baru ini, sekolah saya telah mengundang pegawai polis untuk memberikan ceramah mengenai pencegahan jenayah. Ia sangat informatif dan banyak yang telah saya pelajari. Saya juga berpendapat bahawa ramai remaja sekarang kian terlanjur dengan pelbagai perkara yang tidak patut mereka lakukan.

Mengapa remaja dewasa ini kian melakukan jenayah?
Remaja zaman sekarang lebih terdedah dan bebas melakukan apa yang mereka inginkan. Kelakuan mereka juga ada kalanya melampaui batas. Ini mungkin berpunca daripada kebebasan yang disalahgunakan. Ibubapa mungkin lebih sibuk bekerja dan barangkali tiada masa untuk mengawasi anak mereka. Remaja lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan mereka. Jika mereka salah memilih kawan, mereka akan lebih terjebak dengan perkara yang tidak baik.

Selain itu, remaja kini juga tidak takut melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Contohnya seperti menghisap rokok (walaupun masih bawah umur), merosakkan harta benda awam, menghidu gam, mengambil dadah, mencuri dan sebagainya. Ini mungkin disebabkan oleh ajakan kawan mereka. Oleh itu, ibu bapa harus memantau pergaulan anak-anak mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara sedemikian.

Remaja-remaja lebih suka menghabiskan masa dan duit di luar bersama rakan-rakan mereka. Ada yang melakukan perkara yang tak berfaedah seperti melepak. Apa yang membimbangkan ialah golongan-golongan remaja yang lepak bersama. Mereka mungkin terdiri daripada kumpulan samseng dan sebagainya. Kegiatan golongan seperti ini selalunya tidak sihat dan seringkali melanggar undang-undang.

Segelintir remaja selalu menganggap bahawa melakukan suatu jenayah ialah perkara yang boleh dibanggakan. Ada yang berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang hebat dan berani. Mereka patut sedar yang ia sebenarnya sesuatu yang memalukan dan tidak menjaminkan masa depan.

Mengapa kita harus menyalahgunakan kebebasan dan kepercayaan yang diberikan dengan melakukan jenayah? Jalani hidup dengan bijak dan selamat, masa depan pun terjamin. (:

Monday, February 9, 2009

Azam

Apa itu azam ?
Definasi Azam bermaksud impian atau cita-cita yang direalisasikan dengan kesungguhan dan keyakinan.

Setiap individu mempunyai impian atau cita-cita tersendiri dan untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan, kadangkala banyak cabaran dan halangan harus ditempuhi.
Ketabahan,pengorbanan dan kesungguhan adalah antara faktor penting dan tunggak utama azam terlaksana.Contohnya, jika seseorang pelajar inginkan keputusan cemerlang, mereka haruslah sanggup berkorban masa dan berusaha gigih dengan konsisten. Dengan ini, kesan yang positif pasti tercapai.Selain itu, memberi kebanggaan kepada ibu bapa.
Azam tanpa menitik beratkan faktor-faktor penting yang dijelaskan pasti akan mengakibatkan kegagalan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membuat seseorang itu menjadi tertekan.

Oleh itu, bersungguh-sungguhlah apabila berazam untuk sesuatu perkara supaya masyarakat sekeliling juga dapat berkongsi kegembiraan yang dirasakan.

Sunday, February 8, 2009

Deepavali


Saya dan rakan telah diberi tugasan untuk mencari maklumat mengenai perayaan yang disambut kaum Hindu iaitu Deepavali. Ia juga dikenali sebagai pesta lampu atau 'Festival of Lights'. Kaum Hindu menyambut perayaan ini setiap tahun yang selalunya jatuh pada lewat Oktober atau November. Mereka menganggap bahawa ia wajib untuk diraikan. Seperti kaum-kaum yang lain, perayaan yang mereka sambut pasti mempunyai sejarah atau cerita disebaliknya. Deepavali juga mempunyai lagenda yang tersendiri.

Saya kagum dengan kebudayaan orang Hindu yang menarik. Orang Hindu mengenakan pakaian tradisional mereka iaitu sari atau punjabi. Mereka juga menpunyai pantang larang semasa perayaan mereka. Antaranya ialah, pakaian berwarna hitam tidak digalakkan kerana ia akan membawa tanda yang tidak baik. Pada pagi Deepavali, orang-orang Hindu akan ke kuil untuk meminta kebahagiaan dan kemakmuran pada hari perayaan itu.



Saya suka dengan cara orang Hindu menyambut perayaan ini dengan bercahaya dan berwarna-warni. Makanan yang dihidangkan pasti menarik dan berlainan. Mereka pasti mempunyai pebagai jenis manisan dan makanan yang disajikan untuk tamu yang datang.

Tuesday, February 3, 2009

Keharmonian Kaum

Kenapa Keharmonian kaum?

Di Singapura, keharmonian kaum ialah sangat penting. Ia akan sentiasa merapatkan perhubungan diantara pelbagai kaum yang terdapat di sini. Selain itu, ia juga memberi pengertian mengenai budaya kaum yang lain. Jika tiadanya keharmonian kaum, negara ini pasti akan menjadi kucar-kacir. Mungkin juga, tiada erti kedamaian di antara rakyat-rakyat. Kita harus memahami budaya orang lain jika kita mahu orang lain memahami budaya kita. Memang ada kalanya agak sukar tetapi ia adalah lumrah kehidupan. Seseorang itu tidak harus bersikap sombong atau mementingkan diri sendiri. Kita sepatutnya bersikap terbuka dan bertimbang-rasa dengan kaum-kaum yang lain.



Terdapat pelbagai jenis kaum di Singapura. Setiap kaum mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri. Singapura ialah sebuah negara yang harmoni kerana bilangan kaum yang agak banyak tetapi semua melalui hari-hari mereka dengan aman. Tidak pernah ada lagi pergolakkan atau pergaduhan diantara kaum sejak bertahun yang lalu. Sejarah peperangan dahulu telah mengajar generasi sekarang untuk menerima adanya kaum-kaum lain. Mereka juga layak menerima layanan yang sama rata.
:)

Friday, January 30, 2009

Perayaan Tahun Baru Cina


Seperti tahun-tahun yang lalu, sekolah saya akan menyambut Tahun Baru Cina bersama-sama. Setiap individu berpeluang untuk mengalami dan merasakan bagaimana ia disambut. Sedikit sebanyak, ada juga pengetahuan yang dapat diperolehi dan dipelajari mengenai perayaan yang disambut kaum Cina ini. Sekolah saya tidak pernah terlepas dari mengadakan persembahan yang menarik untuk tontonan semua. Diantara yang dipersembahkan ialah tarian daripada kumpulan tarian cina dan melayu, Wu Shu iaitu aksi mempertahankan diri, sesi soal jawab mengenai Tahun Baru Cina, menyanyi lagu-lagu Tahun Baru Cina beramai-ramai dan lain-lain lagi. Saya berasa sangat seronok kerana dapat sama-sama meraikan perayaan ini walaupun saya bukan kaum Cina.

Pihak sekolah juga telah mengundang warga-warga tua dari rumah kebajikan untuk sertai dalam sambutan perayaan ini. Saya berasa gembira kerana dapat berkongsi keseronokan bersama mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan merasa ketinggalan atau sunyi di hari yang meriah seperti itu. Selain warga tua, sekolah juga menjemput murid-murid dari sekolah rendah. Bak kata orang, lebih ramai, lebih meriah lah rasanya. (:


Guru-guru juga telah memberikan tugasan kepada kami semua beberapa minggu sebelum Tahun Baru Cina. Salah satu darinya ialah untuk menyiapkan pembentangan atau kad ucapan megenai perayaan ini. Daripada tugasan itu, saya dapat mempelajari banyak perkara tentang perayaan ini. Selain itu, semua kelas harus mengambil bahagian untuk pertandingan menghias kelas. Tema menghias ialah Tahun Baru Cina. Kelas saya telah memberikan kerjasama yang memuaskan walaupun kami tidak memenangi pertandingan itu.