CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, February 24, 2009

Remaja zaman sekarang..

Baru-baru ini, sekolah saya telah mengundang pegawai polis untuk memberikan ceramah mengenai pencegahan jenayah. Ia sangat informatif dan banyak yang telah saya pelajari. Saya juga berpendapat bahawa ramai remaja sekarang kian terlanjur dengan pelbagai perkara yang tidak patut mereka lakukan.

Mengapa remaja dewasa ini kian melakukan jenayah?
Remaja zaman sekarang lebih terdedah dan bebas melakukan apa yang mereka inginkan. Kelakuan mereka juga ada kalanya melampaui batas. Ini mungkin berpunca daripada kebebasan yang disalahgunakan. Ibubapa mungkin lebih sibuk bekerja dan barangkali tiada masa untuk mengawasi anak mereka. Remaja lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan mereka. Jika mereka salah memilih kawan, mereka akan lebih terjebak dengan perkara yang tidak baik.

Selain itu, remaja kini juga tidak takut melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Contohnya seperti menghisap rokok (walaupun masih bawah umur), merosakkan harta benda awam, menghidu gam, mengambil dadah, mencuri dan sebagainya. Ini mungkin disebabkan oleh ajakan kawan mereka. Oleh itu, ibu bapa harus memantau pergaulan anak-anak mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara sedemikian.

Remaja-remaja lebih suka menghabiskan masa dan duit di luar bersama rakan-rakan mereka. Ada yang melakukan perkara yang tak berfaedah seperti melepak. Apa yang membimbangkan ialah golongan-golongan remaja yang lepak bersama. Mereka mungkin terdiri daripada kumpulan samseng dan sebagainya. Kegiatan golongan seperti ini selalunya tidak sihat dan seringkali melanggar undang-undang.

Segelintir remaja selalu menganggap bahawa melakukan suatu jenayah ialah perkara yang boleh dibanggakan. Ada yang berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang hebat dan berani. Mereka patut sedar yang ia sebenarnya sesuatu yang memalukan dan tidak menjaminkan masa depan.

Mengapa kita harus menyalahgunakan kebebasan dan kepercayaan yang diberikan dengan melakukan jenayah? Jalani hidup dengan bijak dan selamat, masa depan pun terjamin. (:

Monday, February 9, 2009

Azam

Apa itu azam ?
Definasi Azam bermaksud impian atau cita-cita yang direalisasikan dengan kesungguhan dan keyakinan.

Setiap individu mempunyai impian atau cita-cita tersendiri dan untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan, kadangkala banyak cabaran dan halangan harus ditempuhi.
Ketabahan,pengorbanan dan kesungguhan adalah antara faktor penting dan tunggak utama azam terlaksana.Contohnya, jika seseorang pelajar inginkan keputusan cemerlang, mereka haruslah sanggup berkorban masa dan berusaha gigih dengan konsisten. Dengan ini, kesan yang positif pasti tercapai.Selain itu, memberi kebanggaan kepada ibu bapa.
Azam tanpa menitik beratkan faktor-faktor penting yang dijelaskan pasti akan mengakibatkan kegagalan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membuat seseorang itu menjadi tertekan.

Oleh itu, bersungguh-sungguhlah apabila berazam untuk sesuatu perkara supaya masyarakat sekeliling juga dapat berkongsi kegembiraan yang dirasakan.

Sunday, February 8, 2009

Deepavali


Saya dan rakan telah diberi tugasan untuk mencari maklumat mengenai perayaan yang disambut kaum Hindu iaitu Deepavali. Ia juga dikenali sebagai pesta lampu atau 'Festival of Lights'. Kaum Hindu menyambut perayaan ini setiap tahun yang selalunya jatuh pada lewat Oktober atau November. Mereka menganggap bahawa ia wajib untuk diraikan. Seperti kaum-kaum yang lain, perayaan yang mereka sambut pasti mempunyai sejarah atau cerita disebaliknya. Deepavali juga mempunyai lagenda yang tersendiri.

Saya kagum dengan kebudayaan orang Hindu yang menarik. Orang Hindu mengenakan pakaian tradisional mereka iaitu sari atau punjabi. Mereka juga menpunyai pantang larang semasa perayaan mereka. Antaranya ialah, pakaian berwarna hitam tidak digalakkan kerana ia akan membawa tanda yang tidak baik. Pada pagi Deepavali, orang-orang Hindu akan ke kuil untuk meminta kebahagiaan dan kemakmuran pada hari perayaan itu.



Saya suka dengan cara orang Hindu menyambut perayaan ini dengan bercahaya dan berwarna-warni. Makanan yang dihidangkan pasti menarik dan berlainan. Mereka pasti mempunyai pebagai jenis manisan dan makanan yang disajikan untuk tamu yang datang.

Tuesday, February 3, 2009

Keharmonian Kaum

Kenapa Keharmonian kaum?

Di Singapura, keharmonian kaum ialah sangat penting. Ia akan sentiasa merapatkan perhubungan diantara pelbagai kaum yang terdapat di sini. Selain itu, ia juga memberi pengertian mengenai budaya kaum yang lain. Jika tiadanya keharmonian kaum, negara ini pasti akan menjadi kucar-kacir. Mungkin juga, tiada erti kedamaian di antara rakyat-rakyat. Kita harus memahami budaya orang lain jika kita mahu orang lain memahami budaya kita. Memang ada kalanya agak sukar tetapi ia adalah lumrah kehidupan. Seseorang itu tidak harus bersikap sombong atau mementingkan diri sendiri. Kita sepatutnya bersikap terbuka dan bertimbang-rasa dengan kaum-kaum yang lain.



Terdapat pelbagai jenis kaum di Singapura. Setiap kaum mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri. Singapura ialah sebuah negara yang harmoni kerana bilangan kaum yang agak banyak tetapi semua melalui hari-hari mereka dengan aman. Tidak pernah ada lagi pergolakkan atau pergaduhan diantara kaum sejak bertahun yang lalu. Sejarah peperangan dahulu telah mengajar generasi sekarang untuk menerima adanya kaum-kaum lain. Mereka juga layak menerima layanan yang sama rata.
:)